Single Blog Title

This is a single blog caption

TIDAK SEINDAH BAHASA

TIDAK SEINDAH BAHASA CHUAP

Salam Sejahtera,

Setiap kali bila pihak saya menziarahi kampung Siam, tak kira kampung halaman sendiri (kampung Pegang) atau kampung-kampung siam yang lain hati saya sering berdetik. Bangsa yang cukup setia, bangsa ku yang cukup bersyukur, bangsa ku yang cukup penyabar. Bahagia dan asyik dengan kedamaian dan ketenangan suasana yang nyaman dan segar desa waktu petang.

Lima belas tahun dahulu saya pernah duduk disitu, bermain dengan kawan-kawan. Di bangsal wat yang dibuat daripada kayu. Kini, keadaan masih lagi sama seperti 15 tahun dahulu. Orang yang sama juga saya boleh jumpa di sana. Jika dahulu dia rancak naik motor mengunjungi perayaan di wat Siam, sekarang pun sama. Yang beza sekarang dia sudah kahwin. Membonceng anak isteri ke majlis perayaan yang berlangsung di wat-wat Siam. Bahagia, indah dan penuh ketenangan desa.

Di sudut yang lain pula, mendengar perbualan beberapa anak muda yang suatu ketika dahulu pernah bermain bersama. Memang seronok berjumpa dengan mereka. Sekali sekala mengingatkan saya peristiwa 15 tahun dulu. Perbualan mereka juga berkisar tentang apa yang saya pernah dengar 15 tahun dulu. Tidak banyak yang berubah, ada juga yang sudah memakai motor baru. Pulang dari mencari rezeki.

Saya selilitkan pengalaman saya ini sewaktu di PBTM untuk dinilai sendiri orang mereka yang tidak sempat mengamati keadaan masyarakat kita terutama kepada mereka yang sibuk dengan tugas penting. Maklumlah orang berstatus eksekutif, pengarah atau pun pegawai tinggi di kota. Mereka mungkin jarang ada masa nak memikirkan perkara begini.

Kerap kali juga saya mengikuti perkembangan persatuan-persatuan Siam yang bergerak aktif tetapi dari luar. tetapi ini bukan bermakna kita ini jauh dari masyarakat kita. Ini kerana saya berpegang kepada falsafah. Jika kita ingin membuat penilaian terhadap sesuatu keadaan kita harus membebaskan diri dari kekalutan yang berlaku baru kita dapat berfikir dengan waras.

Sama juga jika kita ingin memberi kritikan atau pandangan sesuatu tempat kita perlu keluar dari tempat itu dan melihatnya dari ruang lingkup yang lain. Contohnya, baik buruk kita orang lain yang nampak dan kita kena tanya pada orang lain. Kalau kita buat kesimpulan sendiri. Jadilah kita orang yang menganggap dirinya sempurna seperti mana yang berlaku pada segelintir dikalangan kita. Diri sendiri saja yang betul. Maka akhirnya tidak ada penyelesaian yang dapat dibuat. Tidak putus dengan masalah. Jadilah persatuan yang bermasalah dari persatuan yang menyelesaikan masalah orang ramai.

Apa pun, bila merenung semula kepada apa yang berlaku, saya merasa bangga melihat sebahagian masyarakat Siam kita yang bertukus lumus untuk memajukan martabat bangsa Siam di Malaysia. Kita sebenarnya sudah cukup anggota yang berkelayakan untuk memberi ilham baru kepada anak bangsa kita.

Jika dibandingkan dahulu dengan sekarang, Siam suatu ketika dahulu tenggelam dan terpinggir dari arus pembangunan dan kemajuan negara. Kini sudah ada orang Siam yang berjaya menjawat jawatan penting yang berstatus professional. Ada Professor, Doktor, peguam, Pakar IT dan macam-macam lagi.

Berbalik semula pada kisah masyarakat kita, kewujudan persatuan dan badan-badan dalam masyarakat Siam adalah sesuatu yang positif. Persatuan Siam Malaysia, Persatuan Belia Thai Malaysia dan sebagainya adalah altenatif dan buah fikiran suci anak muda untuk membantu bangsa agama yang harus dipuji.

Bagaimanapun, sudah tertulis bahawa sesiapa yang ingin berjaya dan maju pasti ada rintangan dan dugaannya. Sudah tentu persatuan-persatuan ini menghadapi banyak masalah dan kritikan dalam menjalankan tugas dan tangungjawabnya. Tetapi sudah menjadi lumrah, pemimpin yang baik adalah pemimpin yang harus menerima kritikan dan bersikap terbuka walaupun kerap kali menerima kritikan yang berbentuk hilang akal. Pemimpin juga harus ingat bahawa kritikan itu juga penting untuk mengingatkan pemimpin yang hilang akal ketika berkuasa.

Apa pun, Syabas kepada pemimpin yang tidak jemu-jemu menghambakan diri kepada bangsa Siam walaupun ada juga yang memandang sebelah mata usaha murni mereka ini. Bukan mudah untuk meluntur manusia berbanding rebung.

Persoalan utama ialah setiap dari kita orang siam harus menerima kenyataan. Kenyataan bahawa masih ramai orang siam yang memerlukan bimbingan dan panduan dalam mencari kemajuan hidup.

Kita tidak boleh berbangga dengan segelintir bangsa siam yang menyandang jawatan professional di jabatan kerajaan atau pun sektor swasta atau berbangga dengan segelintir anak muda siam yang menjejakan kaki ke menara gading. Atau yang melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bilangan itu terlalu sedikit berbanding dengan jumlah penduduk yang kita ada. Lagi pun kejayaan sesebuah bangsa bukan diukur dari berapa ramai belianya masuk universiti atau pun yang menyandang jawatan tinggi tetapi lebih dari itu.

Bukan semua yang berjaya dalam mencari status dan kedudukan boleh dibanggakan juga. Ada yang pandai menuding jari kepada orang lain. Mereka tak sedar satu jari menuding kesalahan pada orang lain tetapi empat jari lagi berbalik kepada diri sendiri. Di sini kita kena sama-sama faham, jangan tersilap menilai kejayaan orang. Ramai yang berjaya untuk melepaskan diri sendiri sahaja, jauh sekali persatuan atau membantu anak bangsa. Agenda! Agenda! Agenda!

Sebab itulah timbulnya isu yang karut-marut. Duit wat hilang, sami kena halau, mensabotaj seminar yang hendak dijalankan, menyekat bantuan kewangan dan bermacam yang memalukan untuk disebut disini.

Apa yang kita ada sekarang belum cukup untuk menjadikan bangsa siam satu bangsa yang dipuji. Banyak lagi usaha yang perlu kita lakukan untuk membina minda diperingkat akar umbi. Memupuk kesedaran bukan sahaja kepada belia tetapi kepada ketua masyarakat dan ibu bapa dikalangan masyarakat Siam.

Peranan ketua masyarakat seperti Ketua kampung, Ketua Sami AJK-AJK dan sebagainya sangat penting dalam menunjukan teladan dan mencanai buah fikiran masyarakat ke arah yang lebih positif.

Saya percaya, semua orang Siam tahu keadaan di kampung-kampung Siam. Tahukah bahawa masih ada anak-anak orang siam yang tak diberikan pelajaran oleh ibu bapa mereka? Anak-anak ini disogokkan dengan memancing ikan, mencari katak, kura-kura, dan bermacam lagi untuk mencari duit. Siapa berani memperkatakan semua ini dalam masyarakat Siam? Sukar kerana ia boleh mendatangkan penghinaan dan kemarahan kepada orang tertentu.

Orang tertentu mungkin tidak mahu menyebut perkara seperti ini takut tidak disokong untuk jawatan tertentu atau takut kehilangan jawatan yang disandang sekarang. Tetapi penganalisis, penulis atau pengkritik yang tidak mementingkan apa-apa jawatan harus membogelkan apa yang tidak berjalan pada landasan yang sepatutnya.

Biar pahit untuk ditelan tetapi ia satu kebenaran yang harus sama-masa diselesaikan. Sama kita ambil iktibar untuk menyelesaikan kemelut yang timbul demi masa depan bangsa kita.

Muhasabah diri sendiri adalah penting untuk menjayakan misi dan visi membangunkan bangsa Siam kita.

Jika kita perhatikan, Keruntuhan moral dikalangan anak-anak muda Siam boleh dikatakan pada tahap kritikal. Orang yang sepatutnya memainkan peranan dan bertangungjawab tidak ke depan untuk mempertahankan masyarakat. Malah lebih mementingkan isu sosial seperti hiburan kampung.

Dalam hal ini, persatuan sebaiknya menumpukan usaha pembangunan mental masyarakat pada peringkat yang lebih mendalam. Bukan sahaja memberi kem motivasi kepada pelajar sekolah dan mereka yang ingin menduduki peperiksaan sahaja tetapi kepada ibu bapa dan ketua masyarakat.

Peranan ketua sami dalam membentuk fikiran warga emas seperti ibu bapa, ketua kampung, Ajk-Ajk kampung sangat penting. Hanya intan yang boleh memotong emas. Jika disogokan dengan bahan bacaan jangan harap nak disentuh. Oleh itu, cara yang paling berkesan adalah membangunkan fungsi ketua agama. Ceramah-ceramah sami pada hari sembahyang sahaja yang boleh diambil iktibar oleh warga emas.

Kita tidak menafikan ilmu agama yang ada pada mereka cukup tinggi. Tetapi kemajuan menuntut lebih dari itu, Bagaimana dengan Masa depan Bangsa sendiri? Harimau mati meninggalkan belang, Manusia mati belum tentu meninggalkan nama……

“Mengkritik tak semestinya membenci,
Bersetuju tak semestinya sayang,
Berbeza pendapat adalah rakan berfikir yang baik”