Profil

Untitled 1 1 1024x189 - Profil

Selamat datang kepada semua pengunjung.

Persatuan Belia Thai Malaysia (PBTM) telah diilhamkan oleh Saudara Manit a/l See Nam pada 25 April 1997 yang pada mulanya dikenali sebagai Persatuan Belia Siam Malaysia (PBSM). Pada 18 Mei 1997 PBSM secara rasminya ditubuhkan di Wat Pinbang-Onn, Pulau Pinang. Walau bagaimanapun, ia hanya berjaya didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan pada 20 Mac 1999 selepas menghadapi berbagai rintangan. Mesyuarat Agung pertama telah diadakan pada 27 Ogos 1999 bertempat di Kompleks Belia Dan Sukan Negeri Pulau Pinang dan satu perlembagaan persatuan telah digubal dan nama persatuan ditukar kepada PBTM.

Antara objecktif-objektif penubuhan PBTM ialah :-

  1. Menyatupadu dan mengeratkan hubungan di kalangan golongan belia Thai di seluruh Malaysia.
  2. Melahirkan perasaan muhibbah, harmoni dan persefahaman di kalangan golongan belia Thai.
  3. Menggalakkan ahli-ahli mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan keagamaan, kebudayaan, kemasyarakatan, pelajaran dan sukan yang bertujuan meninggikan daya tenaga dan daya usaha masing-masing.
  4. Menggalakkan ahli-ahli menceburi dalam bidang pertanian, penternakan dan keusahawanan bagi meningkatkan taraf ekonomi golongan belia Thai.
  5. Bekerjasama dengan mana-mana badan lain yang mempunyai objektif yang serupa.
  6. Menjadi penyelaras segala kegiatan belia Thai secara keseluruhannya dan bertindak secara langsung dalam hal ehwal belia Thai.
  7. Semua wang atau keuntungan yang didapati oleh Persatuan hasil dari penyertaannya dalam mana-mana perniagaan dan pelaburan akan digunakan semata-mata untuk melanjutkan, memajukan dan menjalankan tujuan-tujuan Persatuan dan tidak sebahagian pun daripada wang atau keuntungan itu akan digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada sebarang ahli Persatuan. Sungguh pun begitu peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik untuk membayar gaji atau perbelanjaan atau kedua-duanya kepada sebarang ahli atau pekerja Persatuan.
  8. Mengutip dan mengelolakan derma bagi mana-mana tujuan yang tersebut di atas setelah mendapat kebenaran dari Pendaftar Pertubuhan.